Apr 4, 2010

mencari kirana

salam,

sesiapa yang pernah baca kat piabucuk.blog.friendster tempat mula-mulaku belajar berblog itu atau pernah baca cerpen ini di penulisan2u, abaikan okay. kisah cerpen ni hanyalah rekaan semata-mata, yang dicipta semata-mata untuk memenuhi keperluan assigment saya masa semester 3.


Baca lah, mungkin tak menarik sangat, tapi penuh dengan pengajaran sebenarnya.buat kamu semua, bercintalah selagi masih ada rasa itu, selagi masih dikurniakan perasaan untuk mencintai dan menyayangi. tapi janganlah bercinta hanya mengikut rasa.



Indahnya dunia sebab kita dikurniakan rasa untuk saling kasih mengasihi bukan? cerpen ini juga didedikasikan buat ini sesiapa yang masih ada ibu dan bapak...(ramai yang masih ada kan, tapi ramai manalah yang menghargai mereka...) teman, sayangilah mereka dengan sesungguh hati...Percaya dalam hati, bahawa kita tetap permata mereka walau siapapun kita...Percayalah!!



##############################################



MENCARI KIRANA
‘dan bila suka berganti duka, hilanglah bahagia, datanglah sengsara...'



Satu perjalanan yang sepi. Itulah ungkapan yang tepat untuk menggambarkan hidupnya. Bukan dia ingin meratapi, bukan juga ingin menyesali, namun hanyan sekadar mengimbas kembali suatu perjalanan yang bernama kehidupan. Inilah sebuah kisah tentang meluka dan dilukakan...tentang sebuah kisah mengecewa dan dikecewakan...


Lembut tiupan angin bayu selatan perlahan-lahan menenggelamkannya bersama suatu kenangan...


Dia masih ingat...


Permulaan hidupnya hanya sebagai anak petani yang hidupnya serba susah, yang hidupnya serba daif. Namun, hidupnya tidak pernah bergantung pada simpati orang. Ayahnya gigih, ibunya jua gigih dan kerana itulah dia jua menjadi seorang yang gigih. Sifat ini terus membesar bersama dirinya dan mengalir kemas dalam tubuhnya.


Walaupun hidup keluarganya hanya secukup ada, namun itu tidak menghalang cita-citanya untuk semakin mekar. Ibarat bunga yang mekar ditaman, sentiasa mengembang dan mempesonakan, begitulah impian dirinya yang telah sekian lamanya tertanam. Namun, itulah jua janji serta harapan orang tuanya yang telah dia persiakan...


Semuanya kerana Kirana...


Kerana Kirana, dia jadi begini. Kerana Kirana, dia kini bukan siapa-siapa lagi. Ye..kerana Kiranalah, tiada sudah apa yang dia pertahankan selama ini, matlamat, maruah dan harga diri semuanya hilang bak debu-debu yang bertaburan...Semuanya kerana satu perhubungan yang tidak pernah dia rencanakan.


Benar kata seorang sahabat, jika kita tidak menginginkan sekalipun akan sesuatu, kalau tuhan sudah menentukan begitu, maka begitulah. Jika dia kata jadi, maka jadilah. Dan pastinya perhubungan itu membawa dia pada satu daerah yang sangat asing, yang terlalu tidak akrab buat dirinya...yang telah mengubah perspepsi, mentaliti dan personalitinya... daerah itu sangat indah jika dibajai dengah keikhlasan dan kejujuran, namun sangat membahayakan dan menghancurkan jika dialuri dengan kebuasan nafsu syaitan.



Itulah daerah yang dinamai sebagai daerah percintaan...menyeronokkan bagi yang bahagia, mengsengsarakan bagi yang tidak menggapainya...



Dia anak watan 70-an. Jua anak laut yang tidak mengerti apa-apa. Kemajuan, kecanggihan teknologi mahupun fesyen terkini bukanlah perkara biasa buat dirinya. Namun setelah penghijrahan dia ke ibu kota dia mula mengenali semuanya itu.



Perginya bukan bersahaja, tapi ingin mencari pangeran hatinya yang telah lama menyepi.

Pengeran itulah yang telah mengenalkannya pada cinta suci itu dan kemudiannya meninggalkan dia dalam duka. Lara hatinya tidak dapat diubat lagi. Dia perlu, harus dan mesti mencari....lalu dia mula berhijrah pada suatu penghidupan yang benar-benar mengajarnya kehidupan dunia moden yang seawalnya dia terasa begitu ralat dan canggung.



Dia ingin terus mencari, tiada kenal putus asa. Kerana dia tahu, Kirana pergi bukan kerana dia tidak cinta, Kirana pergi bukan kerana dia tidak lagi sudi dan dia pasti amat Kirana pergi bukan kerana Kirana sudah mula membenci, tetapi Kirana pergi kerana dirinya yang dulu tidak mengerti. Kirana merajuk hati...


Dan dia ingin memujuk Kirana agar kembali, tapi mungkinkah dia?Dia yakin dan percaya. Kerana itu, dia rela mempertaruhkan nasibnya...


Itulah Arjuna...Mula lupa akan cita-cita yang dulu dia kembangkan, dia mula lupa pada mata kedua-dua orang tua yang mengalirkan seribu kepercayaaan dan mula lupa tangan yang pernah mendodoikan. Dia tetap ingin pergi, ingin mencari pangeran hatinya. Tapi ibu tetap rela dalam terpaksa kerana sayang. Begitu jua ayah. Ayah tetap merelai dalam pesan. Nasihat ibu dan ayah mengiringi penghijrahan Arjuna. Arjuna angguk, Arjuna faham...


Tapi Arjuna lupa, perginya itu bukan sebarang pergi. Dia sebenarnya telah menggali lubang yang maha dalam buat dirinya. Dia sendiri jua tidak tahu untung nasib dirinya nanti, namun dicekalkan jua hati sendiri demi mencari Kirana. Dia tekad yang dia tidak akan berpaling lagi.
Arjuna tiba di ibu kota dengan sekeping kertas putih. Arjuna masih ingat pesan Rogayah, itulah alamat yang perlu ditujui apabila dia sampai ke Kuala Lumpur.



Kota itu terasa begitu asing buat Arjuna, apatah lagi hentian Puduraya yang sebegitu menyesakkan. Arjuna mula teringat akan kampung halamannya, yang terasa begitu nyaman dan menenangkan. Ingatannya tenggelam dalam kesyahduan deruan ombak pantai Teluk kalong. Pokok Nyiur sedang melambai-lambai lembut, seolah-olah menggamit kepulangannya. Rindu tiba-tiba datang bertamu...



Tetapi, itu dahulu. Saat mula-mula dia ke sini. Namun, kini tidak lagi. Kampungnya sudah tiada makna pada hatinya, ibu dan ayah sudah mula luput dari ingatan. Arjuna datang mencari Kirana, namun Arjuna yang sebenarnya kehilangan dirinya. Arjuna tewas dengan godaan dunia.



Tidak terduga oleh Arjuna apabila sekali lagi cinta itu bertamu dihati. Dan cinta Arjuna bukanlah cinta seperti dulu. Cinta Arjuna kini sudah berganti anekanya. Tiada lagi cinta suci, tiada lagi cinta sejati, yang ada cinta nafsu-nafsi yang menyeronokkan dalam kesengsaraan. Arjuna tewas. Pangeran hatinya dulu telah dilupakan. Begitu jua cita yang dikobar-kobarkan selama ini.


Dulu, arjuna pernah berjanji akan mencari Kirana kerana Kirana punyai cita-cita yang sama, punyai pandangan yang sama tentang kehidupan dan jua Arjuna tahu bersama Kirananya, rencana itu dapat diteruskan.


Tapi, hanya kerana pertemuan dengan Arif di hentian Puduraya yang tiada mengerti apa-apa, Arjuna mula kelam dalam ketandusan. Arjuna terjebat dalam cinta terlarang. Dia tidak lagi mengerti akan hakikat kehidupan yang dicari. Pesan ayah dan ibu tiada lagi berbekas di hati.
Arjuna pernah terasa berdosa. Tetapi perasaanya itu sering hilang begitu sahaja.



Arjuna seronok begitu, seronok dengan kehidupan yang baru ditemui ini. Arjuna suka kehidupan yang tiada kongkongan adat resam, tidak ada pantang larangnya dan bebas sebebasnya berbuat apa sahaja. Arjuna seronok kerana Arjuna tidak pernah menemui kehidupan sebegitu. Malah, Arjuna juga tidak lagi sesuci Arjuna Kirana yang dulu.



Arjuna hilang harga diri yang dipertahankan kerana bercinta dengan mengikut kata hati. Namun, jauh di sudut hatinya, tersimpan dendam yang amat dalam. Arjuna marah, Arjuna benci, tapi apalah daya Arjuna...malah tiada siapapun yang dapat mengerti akan isi hatinya kini.
Arjuna kini juga mempunyai ramai teman baru, berbeza dengan dirinya di kampung dahulu.



Inilah yang Arjuna harap-harapkan. Arjuna lupa bahawa dia sudah jauh menyimpang. Arjuna tenggelam dalam keseronokan dunia sementara. Tiada lagi cinta suci Arjuna buat Kirana...



Dan sekali lagi tuhan ingin menguji...



Arjuna, gadis sunti di ambang 20-an, punyai raut wajah yang mempesonakan, senyuman yang begitu menawan dan renungan yang begitu mengasyikkan mula rebah kebumi. Kekuatannya yang dulu begitu sejati dalam dirinya, hilang tiada berpesan. Sepancar kilat sesalan itu datang dan Arjuna benar-benar ingin kembali namun masih bergunakah...



Arjuna menangis esak, beratap raung...namun hakikat hidup, yang pergi takkan kembali. Ayah dan ibunya pergi tanpa melihat puteri kesayangannya berbahagia dengan pangeran hatinya, pangeran yang dikejar dan dinanti selama ini. Bukan sahaja mereka pergi tanpa mengetahui khabar tentang Arjuna tetapi mereka jua pergi tanpa sempat melihat Arjuna mengotakan janjinya...


janji yang sering meniti di bibir Arjuna semenjak kecilnya lagi...dan tahukah mereka bahawa puteri itu kini sudah tidak setia pada janji...


Arjuna tersentak tiba-tiba. Dedaunan mempelam yang berguguran menyapu lembut wajahnya. Arjuna mendongak. Sepantas kilat ingatan itu memutar kembali kenangannya tatkala melihatkan bebuah mempelam di hujung dahan.



Di sinilah episod cinta itu benar-benar berakhir, berakhir dengan esak tangis Arjuna. Arjuna benar-benar kehilangan Kirana...


Kirana pulang. Sebetulnya, Kirana sudah lama ingin kembali ke kampung halamannya, namun langkahnya sering terhenti. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang. Terasa masih ada lagi yang ingin dia buktikan. Namun, kerana rindunya pada Arjuna, gadis yang diikat dengan kasih sayangnya dahulu dia melangkah jua pulang. Kampung Telok Kalong baginya tiada banyak berubah. Dan dia harap-harap gadisnya jua begitu.



Namun, kecewanya Kirana bukan kepalang. Mendengarkan cerita dari temannya Sudin, Kirana terkedu. Terasa sayu dihujung hati, mengenang Arjuna yang tidak berpegang pada janji.


Bertambah sayu lagi apabila mengetahui Arjuna pergi kerana mencari dirinya sehinggakan lupa pada ayah bonda tercinta. Bagi Kirana, Arjuna tidak perlu begitu kerana dia sendiri telah berjanji yang Arjuna tidak akan sekali-sekali dia persiakan. Lagipun Arjuna gadis desa, yang kuat berpegang pada budaya dan adat. Tidak seharusnya dia berkelakuan begitu.



Marahnya semakin bertambah tatkala didengarinya cerita bahawa Arjuna sudah jauh berubah bila ke kota. Minah rewang, minah ligat... aduh, pedihnya hati...


Yang paling disesali, Arjuna sanggup mendurhakai ibu ayahnya yang dahulu Arjuna sentiasa utamakan. Kerana cintakannya, Arjuna sanggup meninggalkan mereka. Malah, kerana hidup di ibu kota yang selesa, Arjuna mula lupa kedua-dua insan yang dulunya tempat dia bernaung kasih dan sayang.


Astagfirullahalazim Arjuna...



Berlainan dengan Arjuna...
Saat melihatkan Kirana, Arjuna mula lupa diri. Lupa akan khilaf yang pernah dilakukan. Kerana rindu yang telah lama terpendam, dia bagaikan histeria. Perasaannya membuak-buak ingin memeluk Kirana. Dia ingin meluahkan segala rasa yang terbuku. Dia tahu Kirana pasti mengerti akan hatinya. Dia tahu cinta Kirana adalah buatnya.



Namun, pelukan Arjuna itu tidak berbalas, terasa longgar. Dia mendongak, memandang wajah Kirana. Air mata Kirana berkelompok di mata. Arjuna mengerti.


Arjuna mula menangis kuat...
Dan, dedaunan mempelam gugur lagi berselerak di kaki. Anggerik biru ditepi kaki hanya membatu, seolah-olah serba tidak tahu dan rumput-rampai yang kesayuan hanya tunduk membisu ke bumi...syahdu...



'Abang...'

Arjuna hanya mampu menjerit dalam hati saat Kirana meleraikan pelukan itu. Kirana memandang sayu wajah Arjuna.


"Cinta itu tidak buta, Arjuna. Jadi janganlah Arjuna buta kerana cinta..."


Arjuna terdiam. Dia pernah mendengar kata-kata itu...ye, Arjuna ingat. Itu pesan ayah sebelum Arjuna pergi mencari Kirana. Mengingatkan itu, air mata Arjuna semakin mengalir laju. Mata Kirana pula semakin berkaca.


"Arjuna, tidak ada cinta sejati, tidak ada cinta suci andai diri tidak punyai cinta buat diri dan keluarga sendiri...kembalilah Arjuna. Tebuslah maruahmu...selamat tinggal Arjuna Maya..." ucap Kirana dalam sebak.



Arjuna benar-benar ingin menjerit. Lebih menyedihkan Arjuna, Kirana pergi tanpa mendengar penjelasannya. Kirana perlu tahu, cintanya memang cinta sejati buat dirinya. Kerana cinta yang dia agungkan itu, dia rela berbuat apa sahaja. Tahukah Kirana, apa yang terjadi padanya... tahukah Kirana yang dia dinodai tanpa rela...



Kirana tetap tidak mahu berpaling...
Bukanlah Kirana mahu berlaku kejam dan bukanlah Kirana mahu menghukum, apatah lagi di saat-saat Arjuna berduka lara sebegitu. Tetapi Kirana berbuat keputusan begitu kerana dia lelaki sejati, yang berpegang teguh pada kata dan janji.



Ye janji...
Dulu, Arjuna dan dia pernah sama-sama berjanji...akan bersatu apabila tiba waktunya, sama-sama berjanji...yang tiada pernah ada cinta lain antara mereka. Dan yang paling penting, Arjuna pernah berjanji untuk menjaga dirinya buat Kirana. Bersungguh-sungguh Arjuna berjanji, namun dialah jua yang memungkiri.



Walau begitu, dalam hatinya masih terdetik kalimat...‘abang sayang Arjuna...'. Terasa ingin sekali dia bisikkan pada Arjuna kalimat itu, namun biarlah hanya dia sahaja yang tahu.



Angin bayu selatan itu menempis kuat wajahnya membuatkan dia tersentak dari lamunan itu sekali lagi. Terasa basah pipinya. Pipi itu kini tidak segebu dahulu, sudah punya urat-urat timbul. Juga tidak lagi setegang dahulu, malah sudah menampakkan riak-riak kedut di sana-sini.


Dia meraba-raba matanya. Basah. Mata itu jua sudah tidak sesempurna 40 tahun yang lalu, bengkaknya timbul, kaburnya jua teruk kerana tangisnya yang tidak pernah jemu.



"Abang..."


Sekali lagi kalimat itu meniti di bibirnya.
Dulu, dia pernah meraung kuat kalimat itu tatkala dia sedar dari lena tanpa seurat benang pun. Dia marah, geram, sedih dan benci. Tapi pada siapa...



Arif!
ye, Arif menegurnya di stesen bas itu, berbuat baik padanya, menawarkan pertolongan untuk mencari tempat yang ingin ditujuinya. Arjuna terpedaya, dan ternoda. Itulah yang terjadi setelah meminum air pemberian Arif.


Dia tertekan. Arif memohon maaf. Arif ingin memiliki dia selama-lamanya kerana itu Arif berbuat demikian. Arif tidak mahu Arjuna ketemu Kirana kerana hatinya sudah jatuh cinta pandang pertama.


Mendengarkan itu, Arjuna hampir pengsan. Arjuna tidak tahu arahnya lagi. Harga dirinya sudah hilang dan dia tidak mahu pulang menadah nasib pada keluarga. Kerana itu, Arjuna hidup dalam dunia Arif dan Arif berjanji tidak meninggalkan Arjuna dengan wewenang.



Arjuna tidak mengerti bahawa perkiraannya itu silap. Dan Arjuna hanya pulang setelah dia begitu banyak kehilangan...hilang cita, cinta, harga diri dan kedu-dua ibu bapanya...


Dan Arjuna tahu dia telah banyak melukakan, namun dia dia juga telah banyak dilukakan...
Dia juga tahu yang dia telah banyak mengecewakan, namun dia juga telah banyak dikecewakan...



Dengan mata berkaca, Arjuna merenung ke arah laut biru...seolah-olah mengharap Kirana akan muncul di situ. Dia masih menanti dan dia ingin sekali Kirana kembali agar Kirana tahu cintanya tidak pernah pudar. Malah, penantian itu tidak pernah berakhir.



Dan, mencari Kirana jua tidak pernah berakhir...


-tamat-



(Safia Shaharuddin,Ogos '07@myrOOm)



##########################################



p/s: moga menjadi pengajaran buat kita bersama.ini karya kedua hamba, setelah cerpen 'Janji Pasti' yang dimuatkan ke dalam antologi 12 cerpen remaja terbaik daerah pantai timur terbitan DBP.nanti saya post di sini, ye...yang pasti, ia cuma karya kecil..:0


p/s/s:ku masih belajar menulis...tapi yang pasti, sastera dan seni itu jiwaku...:)


1 comment:

Sheherazade said...

Sayang,ku tahu kewujudan di FS kamu tahu kan :)?..cume perlu mase untuk mendalaminya :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILAP MATA :)